Syekh Imam Muhammad Mukhtar Bin ‘Athor

0

Di mekkah pada satu ketika dulu sekurang-kurangnya ada tiga orang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menguasai banyak bidang disiplin ilmu. Ketiga-tiganya pula adalah merupakan yang paling ramai muridnya, terutama bagi masyarakat dunia Melayu.

Yang pertama, ialah Syekh Ahmad Bin Muhammad Zain Al-Fathani (1272 H/1856 M – 1325 H/1908 M). Mengajar di Masjid Al-Haram selama lebih kurang 25 tahun, mulai 1300 H/1882 M hingga tahun 1325 H/1908 M. Yang kedua Syekh Ahmad Khatib Bin ‘Abdul Latif Al-Minankabawi (1276 H/1860 M – 1334 H/ 1916 M). Mengajar di Masjid al-Haram selama lebih kurang 29 tahun, mulai 1305 H/1888 M hingga tahun 1334 H/1916 M. Yang ketiga ialah ulama yang diriwayatkan ini, nama lengkap beliau ialah Syekh Imam Muhammad Mukhtar Bin ‘Athor Al-Jawi Al-Batawi Al-Bughri. Lahir di Bogor, Jawa Barat, pada hari Kamis, 14 Sya’ban 1278 H/14 Februari 1862 M, wafat di Mekah, Ahad Petang, 17 Shafar 1349 H/13 Juli 1930 M. Mengajar di Masjid al-Haram selama lebih kurang 28 tahun, mulai 1321 H/ 1903 M hingga tahun 1349 H/1930 M.

Syekh Tuan Mukhtar Bogor menguasai banyak bidang disiplin ilmu termasuk ilmu-ilmu hadits, yang sering dibicarakan terutama oleh golongan tajdid, namun beliau tetap berpegang dengan Mazhab Syafi’i, pengikut setia Mazhab Ahlus Sunnah wal Jama’ah aliran Imam Abu Hasan Al-Asy’ari dan Imam Abu Manshur Al-Maturidi. Dalam tasawwuf tetap berpegang kukuh dengan imam-imam kaum sufi yang muktabar seperti Imam Abu Qasim Junaidi Al-Baghdadi, Imam al-Ghazali, dan lain-lain.

PENDIDIKAN

Beliau memperoleh pendidikan dari orang tuanya sendiri, terutama tentang Al-Qur’an sekaligus beliau hafizh kitab suci Islam itu. Dalam tahun 1299 H/1881 M melanjutkan pelajarannya di tanah Betawi, belajar kepada Al-‘Allamah Al-Habib Utsman Bin Aqil Bin Yahya, Mufti Betawi. Melalui ulama Arab keturunan Rasulallah saw tersebut Tuan Mukhtar Bogor hafal matan-matan ilmu yang lain-lainnya.

Matan-matan itu ialah : Matan Al-Milhah, Matn Al-Fiyyah dan Matn Al-Qathar semuanya dalam bidang ilmu nahwu, Matan Al-Ghayah Wa At-Taqrib, Matan al-Irsyad, Matan Az-Zubad semuanya dalam fikih dan termasuk juga akidah. Ketika belajar di Betawi juga, Tuan Mukhtar telah mahir dalam riwayat-riwayat Ilmu Qira’at.

Ulama-ulama yang pernah mengajar Tuan Mukhtar, yang bersanad, yang beliau sebut dalam tulisannya, ialah: Sayyid Muhammad Amin Bin Sayyid Ahmad Ar-Ridhwan Al-Madani, Sayyid Abu Bakri Syatha dan saudaranya Sayyid Umar Syatha, Sayyid Abdul Karim An-Naji Ad-Daryandi, Syekh Muhammad Bin Sulaiman Hasbullah Al-Makki, Syekh Musthafa Afifi dan Syekh Muhammad Zainuddin Al-Jawi As-Sumbawi. Ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa, Indonesia ini menghasilkan beberapa buah karangan di antaranya yang masih diajarkan sampai sekarang ialah Sirajul Huda (akidah) dan Minhajus Salam (fikih). Guru-guru yang lain beliau sebut pula Syekh Muhammad Al-Minsyawi, Sayyid Umar As-Syami, Sayyid Husein Al-Habsyi, Sayyid Yusuf An-Nabhani, Sayyid Muhammad Bin Ja’far Al-Kattani dan Syekh ‘Abdul Qadir Al-Halabi.

Ada beberapa buah kitab yang dikhatamkan Tuan Mukhtar di bawah bimbingan Syekh Ahmad Al-Fathani, kitab-kitab itu ialah Fathul Mu’in dan syarahnya I’anatuth Thalibin. Kedua-dua kitab itu adalah mengenai fikih yang sekaligus Tuan Mukhtar belajar juga kepada Sayyid Abu Bakri Asy-Syatha, Yaitu pengarang kitab I’anatuth Thalibin itu. Kitab Fikih Mazhab Syafi’i yang besar-besar Tuhfah dan Nihayah, Tuan Mukhtar juga belajar kepada Sayyid Abu Bakri asy-Syatha. Tuan Mukhtar Bogor juga secara langsung khatam dua buah kitab karya Syekh Ahmad al-Fathani sendiri. Yang sebuah dalam bahasa Arab, iaitu Tashil Nail Al-Amani tentang nahwu. Yang bahasa Melayu adalah Kitab Faridatul Faraid tentang akidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Mengenai ilmu hadits terutama kitab Shoheh Al-Bukhari dan Shahih Muslim, Tuan Mukhtar belajar dari awal hingga akhir kedua-dua kitab itu kepada Sayyid Husein Bin Sayyid Muhammad al-Habsyi. Mengenai ilmu tafsir pula Tuan Mukhtar belajar kepada Syekh Muhammad Bin Sulaiman Hasbullah Al-Makki. Sayyid Husein Bin Sayyid Muhammad Al-Habsyi dan Syekh Muhammad Bin Sulaiman Hasbullah al-Makki juga adalah guru kepada Syekh Ahmad Al-Fathani.

MENGAJAR

Dalam catatan sejarah Tuan Mukhtar Bogor adalah seorang yang sangat rajin belajar, mengajar, membaca dan sangat kuat beramal. Praktek mengajar dilakukan di Masjidil Haram Mekkah dan di rumah beliau sendiri. Mengajar di Masjidil Haram Mekkah dilakukan antara Maghrib dan Isya. Dan sesudah isya disambung lagi. Yang hadir ketika beliau mengajar di dalam Masjidil Haram Mekkah sekitar 400 orang yang terdiri dari para pelajar dan termasuk para ulama.

Biasanya beliau mengajar sesudah Subuh, jika di rumah, adalah ilmu nahwu, ilmu shorof dan balaghah. Sesudah Ashar mengajar kitab Ihya’ Ulumiddin (Tasawwuf) karangan Syekh Imam Al-Ghazali. Pelajaran yang singkat tentang ilmu falak dan miqat dilaksanakan pada hari Selasa, yaitu mengajar kitab susunan beliau sendiri.

Setiap malam Jum’at, Tuan Mukhtar Bogor mengadakan majlis dzikir dan do’a yang ramai manusia menyertai majelis itu. Setiap selesai melakukan dzikir dan do’a diiringi dengan jamuan makan secara berjamaah.

Selain melakukan dzikir dan do’a berjemaah Tuan Mukhtar Bogor memang dikenali sebagai seorang yang zahid, banyak melakukan ibadat, banyak membaca sholawat Nabi SAW, banyak membaca Al-Qur’an dan lain-lain sejenisnya. Sungguhpun Tuan Mukhtar Bogor berkekalan membaca Al-Qur’an sebagai amalan, namun beliau masih mampu mengamalkan dzikir-dzikir jenis Thariqat Qadiriyah dan Thariqat Naqsyabandiyah.

Selain hal-hal yang tersebut di atas Tuan Mukhtar Bogor juga dikenali sebagai seorang yang pemurah, beliau menampung para pelajar yang tiada berkemampuan dengan bimbingan pelimpahan ilmu, sekaligus diberi makan dan pakaian seperti yang beliau lakukan terhadap keluarganya sendiri.

Di antara murid-murid Tuan Mukhtar Bogor yang menjadi ulama besar yang mendapat tempat dalam masyarakat adalah :

  1. Haji Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang.
  2. Tengku Mahmud Zuhdi. Syekh Al-Islam Selangor.
  3. Sayyid Muhsin Bin Ali Al-Masawi, pengasas Madrasah Al-Ulumid Diniyah di Mekkah.
  4. Kiyai Ahmad Dimyathi Bin ‘Abdullah At-Tarmasi (adik Syekh Muhammad Mahfuz At-Tarmasi yang sangat terkenal).
  5. Hadratussyaikh Hasyim Asy’ari, pendiri Nahdlatul Ulama(NU).
  6. Kiyai Haji Manshur bin Abdur Rahman Bogor al-Batawi.
  7. Sayyid Muhammad Ahyad Bin Idris Bogor, ulama ini adalah menantu kepada Tuan Mukhtar Bogor.
  8. Syekh Muhammad Yasin Bin Isa al-Fadani (Padang).
  9. Tuan Guru Haji Muhammad Zain Bin Tama Kajang (1324 H/1908 M – 1413 H/ 1992 M). Dan Lain-Lain.

Beberapa murid Tuan Mukhtar Bogor yang masih hidup saat ini yang masih berada di Malaysia adalah, Tuan Guru Haji Hasyim (Pimpinan Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan), Tuan Guru Haji Abdullah Bin ‘Abdur Rahman (Pimpinan Pondok Lubuk Tapah, Kelantan). Selain yang masih hidup di Malaysia juga masih banyak di Patani, Indonesia dan di Mekah.

Karya-Karya

Syekh Muhammad Mukhtar Bogor menghasilkan karya yang tersebar berupa cetakan ada yang ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Yang telah diketahui dan dijumpai adalah sebagai yang tersebut di bawah ini:

Taqribul Maqshad Fil Amali Bir Rub’il Mujaiyab, diselesaikan pada hari Kamis, 15 Sya’ban 1308 H. Kitab ini banyak membicarakan ilmu falakiyah. Cetakan kedua Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1331 H. Dicetak juga oleh Mathba’ah Mushthafa Al-Baby Al-Halaby, Jumadil Awwal 1347 H. Selain cetakan sebuah manuskrip salinan yang ditemui, pada akhir kitab ini tertulis, “Saidi Wa Ihsan Haji Abdur Rahman Bin Al-Haji Ibrahim Khathib Melabuh Al-Jawi Min Ahali Al-Juhur Baharu”. Maksudnya adalah Saidi dan Ihsan Bin Haji Abdur Rahman Bin Haji Ibrahim, Khathib Melabuh yang berasal dari keluarga besar Johor Bahru. cetakan telah dilakukan pada hari Rabu, 15 hari diakhir bulan Rajab 1313 H.
Ushulud Din I’tiqad Ahlis Sunnah wal Jamaah, diselesaikan hari Kamis, 24 Dzulkaidah 1323 H. Kandungan membicarakan akidah, sifat dua puluh. Dicetak oleh Mathba’ah At-Taraqqil Majidiyah al-Utsmaniyah 1330 H.

Ar-Risalatul Wahbatil Ilahiyah Fi Bayani Itsqati Ma’alal Maiyiti Minal Huquqi Was Shiyam Was Shalati, diselesaikan malam Ahad, 2 Muharram 1327 H. Kandungan membicarakan fidyah, sholat, puasa dan lain-lain. Dicetak oleh Mathba’ah At-Taraqqil Majidiyah al-Utsmaniyah 1330 H. Ditashhih oleh Syekh Idris Bin Husein Al-Kalantani. As-Shawa’iqul Muhriqah Lil Auhamil Kazibah Fi Bayani Hillil Baluti War Raddu ‘Ala Man Harramahu, diselesaikan: Malam Senin, 8 Muharram 1329 H. Kandungan membicarakan hukum boleh makan belut. Dicetak oleh Mathba’ah At-Taraqqil Majidiyah Al-Utsmaniyah 1329 H. Kitab It-Thafus Sadatil Muhadditsin Bi Musalsalatil Ahaditsil Arba’in, diselesaikan: 8 Rabiulawal 1345 H. Kandungan membicarakan berbagai-bagai sanad/silsilah keilmuan dan amalan. Dicetak oleh Mathba’ah Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyah, Mesir, Jumadil Awal 1345 H, ditashih oleh Syekh Muhammad Az-Zahari al-Ghamrawi. Khutbah Jum’at, tidak terdapat kenyataan tahun penulisan. Kandungan Khutbah Jum’at, khutbah yang pertama dan khutbah yang kedua. Dicetak tidak terdapat nama percetakan. Kitab Ad-Durril Munif Fi Syarhil Wirdil Lathif, tidak terdapat kenyataan tahun penulisan. Kandungan membicarakan wirid, dzikir, do’a, dan lain-lain. Cetakan yang pertama Mathba’ah At-Taraqqil Majidiyah Al-‘Utsmaniyah, atas perbelanjaan pemiliknya Muhammad Majid Al-Kurdi Al-Makki, 1330 H. Mukhtashar Kitab Ad-Durril Munif Fi Syarhil Wirdil Lathif, tidak terdapat tahun penulisan. Kandungan membicarakan wirid, dzikir, do’a, dan lain-lain. Dicetak oleh Mathba’ah al-‘Arabiyah, Mekkah. Pada halaman 7 pengarang mencatatkan bahawa syarah kitab ini dicetak pertama kali di Mekah tahun 1330 H dan cetakan yang kedua, tahun 1345 H di Mesir. Bahwa beliau telah mencantumkan 30 hadits berserta dengan syarah-nya di dalam kitab tersebut.