Syekh Daud ‘Abdullah Al-Fathani

0

Nama lengkap beliau adalah Al-Alim Allamah Al-Arif Ar-Rabbani Syekh Wan Daud Bin Syekh Wan ‘Abdullah Bin Syekh Wan Idris (juga dikatakan Wan Senik) Al-Fathani. Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Syekh Daud Patani. Syeikh Daud al-Fathani adalah keturunan Tok Wan Faqih ‘Ali dari jalur ibu dan ayahnya.

Dari jalur ibunya, Syekh Daud Bin Fatimah Binti Syekh Wan ‘Abdullah Bin Wan Salamah Binti Tok Banda Bin Tok Kaya Ratna Diraja Bin Tok Wan Faqih ‘Ali. Manakala sebelah ayahnya, Syekh Daud bin Syekh Wan ‘Abdullah Bin Tok Wan Abu Bakar Bin Tok Kaya Wan Pandak Bin Tok Wan Faqih ‘Ali. Keturunan dan keluarga Syekh Daud merupakan keturunan ulama dan keluarga beliau mendominasi pengajian Islam di rantau Nusantara. Antara keluarga beliau yang juga ulama besar di Tanah Melayu dan Nusantara Syekh ‘Abdul Kadir Bukit Bayas (Kg Bukit Bayas, Terengganu) dan Syekh ‘Abdul Kadir Pasir Panjang (Kg. Hj Kadir, Terengganu).

Beliau dilahirkan di Kampung Parit Marhum, Kerisek, Patani. Tahun kelahirannya tidak dapat dipastikan kerana terdapat perselisihan pendapat di kalangan penyelidik mengenainya. Dalam catatan-catatan beberapa keluarga penulis yang ada hubungan dengan beliau, ada yang mencatat tahun 1133 H, 1153 H dan tahun 1183 H.

Syekh Daud al-Fathani dan kawan-kawannya telah belajar di Mekah selama 30 tahun dan lima tahun di Madinah. Disebabkan masa belajar yang lama itu beliau digelar Al-‘Alim Allamah Al-‘Arif Ar-Rabbani.

Syekh Daud Al-Fathani wafat dan dimakamkan di Taif. Kuburnya bersampingan dengan kubur Sayyidina ‘Abdullah Bin ‘Abbas yaitu sepupu Rasulullah s.a.w.. Tahun kewafatannya juga belum diketahui dengan pasti. Tetapi ada yang berpendapat beliau wafat sekitar tahun 1847 M, juga ada yang menyebut tahun 1265 H.

Syeikh Daud Bin ‘Abdullah Al-Fathani disamping seorang pakar tashawwuf juga seorang ulama ‘fiqih dan ushuluddin. Karangan-karangan beliau sangat banyak, mulai dari pembahasan tingkat rendah hingga pembahasan tasawwuf tingkat tinggi. Khusus karangan beliau dalam bidang tasawwuf adalah antara lain :
Manhalatus Shafi.

  1. Kitab Al Qurbarbatu Ilallah.
  2. Kitab Jam’ul Fawaid selesai ditulis tahun 1239 H/ 1819 M.
  3. Kitab Minhajul Abidin selesai ditulis pada tahun 1240 H/ 1820 M.
  4. Kitab Kanzul Minan selesai ditulis tahun 1240 H/ 1820 M.
  5. Terjemah Bidayatul Hidayah.

Disamping itu, beliau masih memiliki karya tulis lain yang membicarakan masalah fiqih dan Ushuluddin. Karya-karya beliau dalam kedua bidang ini adalah :

  1. Kitab Ad Durruts Tsamin selesai ditulis tahun 1232 H/ 1812 M.
  2. Kitab Dhiya’ul Murid (tanpa keterangan tahun).
  3. Kitab Munyatul Mushalli selesai tahun 1242 H/ 1822 M.
  4. Kitab Hidayatul Muta’alim selesai tahun 1244 H/ 1824 M.
  5. Kitab Wardus Zawahir selesai tahun 1245 H/ 1825 M.
  6. Kitab Fathul Manaan selesai tahun 1249 H/ 1829 M.
  7. Kitab Jawahiruts Tsaniyah selesai tahun 1252 H/ 1832 M.
  8. Kitab Sullamul Mubtadi selesai tahun 1252 H/ 1832 M.

Sumber:
http://www.laduni.id/post/read/48787/sheikh-daud-abdullah-al-fathani